AMANAH Tawar Tempat Kepada Mukhriz

252
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) sedia menawarkan tempat kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir jika bekas Menteri Besar Kedah itu berhasrat untuk menyertai parti serpihan PAS tersebut.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya sedia untuk membuka pintu perbincangan jika Mukhriz berminat dan bersedia menyertai parti itu.

“Kita akan lihat perkembangan dulu, dia pun ada maruah. Lagipun, pintu perbincangan kita masih dibuka kalau dia (Mukhriz) hendak berjumpa,” ujarnya sewaktu ditemui pemberita di Bangunan Tabung Haji, hari ini.

Mengulas lanjut, Salahuddin turut menyifatkan tindakan UMNO Kedah menjatuhkan Mukhriz sebagai tindakan yang tidak demokratik.

“Saya rasa itu satu proses yang tidak demokratik yang kita rasakan mereka telah buat di Terengganu, Perak dan kini Kedah pula.

“Mereka sudah banyak kali buat keputusan dibuat di luar Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini tidak demokrasi,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, penyingkiran Mukhriz itu juga disifatkan suatu langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membuktikan beliau lebih berkuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dari segi politiknya, langkah Najib ini untuk tunjuk kepada Dr Mahathir bahawa dia berkuasa,” katanya lagi. – FMT