Almarhum Sultan Abdul Halim Disemadi

15
0
SHARE

ALOR SETAR: Jenazah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, 89, disemadikan di Makam Diraja Langgar, di sini, kira-kira jam 5.15 petang tadi.

Kira-kira 1,000 orang terdiri daripada kerabat diraja dan rakyat hadir pada istiadat pemakaman itu untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum.

Terdahulu, jenazah baginda yang diarak menggunakan pedati kira-kira 11 kilometer dari Istana Anak Bukit, di sini, dibawa ke kawasan makam tepat jam 4 petang.

Turut mengiringi jenazah ialah Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah yang baharu dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 dan kerabat diraja.

Bacaan talkin dilakukan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, manakala tahlil diketuai Imam Besar Masjid Zahir, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim.

Terdahulu, jenazah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah diarak di sepanjang Lebuh Raya Darulaman, sebelum melalui Jalan Tun Razak dan Jalan Langgar, di sini, menuju ke Makam Diraja Langgar, dengan penuh istiadat.

Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang diputerakan pada 28 November 1927 mangkat di Istana Anak Bukit jam 2.30 petang semalam.