Aktiviti Bauksit Dihentikan 3 Bulan

209
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

Foto: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Kuantan, Pahang akan dihentikan selama tiga bulan mulai 15 Januari ini bagi membolehkan pelan tindakan penyelesaian pencemaran dilaksana.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pada bulan pertama, kerajaan mengarahkan supaya semua stok simpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan dikeluarkan dan dibersihkan.

“Pada bulan kedua pula, semua stok bauksit yang ada di 11 pusat pengumpulan mesti dikeluarkan dan akan dihantar ke satu pusat pemgumpulan saja yang akan diumumkan kemudian,” katanya dalam satu sidang media khas di sini tengah hari tadi yang turut dihadiri sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Wan Junaidi berkata, pada bulan ketiga pergerakan bauksit daripada pusat pengumpulan untuk tujuan eksport akan bermula.

Beliau berkata, kementeriannya juga sudah membekukan dan membatalkan semua permohonan permit AP bagi mengeksport dan menjalankan aktiviti perlombongan bauksit bermula sejak minggu lepas.

Sementara itu, katanya, Kabinet membuat keputusan tempoh pemberhentian operasi tiga bulan yang dibuat sebelum ini bagi aktiviti perlombongan bauksit akan dipanjangkan jika pengusaha dan pelombong bauksit masih gagal mematuhi arahan ketika moratorium.

“Kerajaan tidak berniat untuk menutup operasi perlombongan bauksit di negara ini, namun masih mematuhi peraturan dan garis panduan dalam memelihara kelestarian alam sekitar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adnan pula berkata syarikat perlombongan bauksit di Kuantan harus menikmati moratorium sementara yang diumumkan oleh kerajaan hari ini kerana ia akan memberi mereka keuntungan yang lebih.

“Ini satu rahmat. Jika saya jadi mereka, saya akan nikmati moratorium itu,” katannya.