Aktivis Reformasi, NGO Sokong Anwar Dicalon Hadiah Nobel

156
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Sekumpulan aktivis reformasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyokong pencalonan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara sebagai Tokoh Keamanan Dunia Nobel.

Wakil kumpulan itu, Saari Sungib, berkata sokongan tersebut wajar memandangkan masyarakat dunia mengisytiharkan Anwar sebagai tahanan politik.

“Sidang media hari ini bagi menyatakan sokongan ke atas pencalonan Tokoh Keamanan Dunia dan mengalukan sekumpulan tokoh yang mencalonkannya,” kata Saari yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang.

Saari yang pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyifatkan Anwar layak menerima anugerah itu kerana jasanya kepada masyarakat dan keamanan dunia.

“Anwar sudah mencurahkan jiwa raganya untuk kesejahteraan dan keamanan di atas nama kemanusiaan yang berlandaskan prinsip kebenaran dan keadilan Islam serta nilai mulia dan murni sejagat,” katanya.

Tarikh tutup pencalonan anugerah Nobel ialah pada 2 Februari, dan pemenang akan diumum Oktober akan datang.

Kumpulan itu bagaimanapun enggan mendedahkan pihak yang mencalonkan Anwar memandangkan peraturan jawatankuasa Nobel.

Sempena pencalonan itu juga, mereka mengumumkan akan berhimpun menyatakan sokongan kepada Anwar pada 3 April di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said berkata, rakyat tidak boleh membiarkan Anwar yang banyak berjasa terus berada dalam penjara.

“Anwar merupakan seorang insan hati nurani, insan visi dan aksi.

“Kita tidak mahu insan ini terus bersiar-siar dalam penjara,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun sejak 10 Februari lalu selepas disabit meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada November tahun lepas, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan penahanan Anwar melanggar undang-undang antarabangsa dan menggesa pembebasan beliau dengan segera.

Keputusan itu dibuat Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari PBB (UNWGAD) yang menyifatkan pemenjaraan Anwar tidak sah dan beliau perlu dibebaskan serta-merta.

Antara NGO yang turut hadir bagi menyatakan sokongan pada sidang media hari ini ialah Suaram, March To Freedom, Amnesty International dan Jingga 13. – INSIDER