Akhirnya Najib Menjawab

2460
0
SHARE

Oleh: Faizal Riduan

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2015 menjadi medan ‘pulang paku buah keras’ yang digunakan sepenuhnya oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk menjawab pengkritiknya setelah sekian lama dilihat berdiam dan mengelak isu yang berlarutan sejak penyingkiran timbalannya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Najib bermula dengan berbasa-basi sambil menyifatkan tugasan yang dipikulnya seumpama ‘seurat rambut dibelah tujuh’ dan sekalipun “menggunung cabaran menghalang, meski hebat apapun tantangan yang tiba, saya tidak boleh sesekali menyelah kalah…”

Beliau kemudian menyindir usaha-usaha pertemuan di luar saluran parti untuk mengata dan menuduhnya secara sesuka hati.

“I am gentleman, apa-apa kekusutan pun, marilah berjumpa, duduk berbincang, kita selesaikan melalui saluran yang betul.

“Saya tidak boleh menjadi pengecut, bahkan itu bacul namanya,” jelas Najib yang kemudian mengulangi jawaban ringkas mengenai syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sumbangan dana RM2.6 bilion sebagaimana penjelasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen baru-baru ini.

Beliau kemudian menekankan peri penting kesetiaan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan  parti sebagai suatu disiplin organisasi.

“Semua orang tahu, Najib Razak ini, saya seorang yang tidak ‘confrontational’ . Saya juga tidak pernah menjatuhkan sesiapa apatahlagi untuk mengkhianati parti UMNO tercinta ini.”

Najib kemudian mengimbau keputusannya menyebelahi pucuk pimpinan UMNO yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut mengekalkan beliau sebagai Perdana Menteri pada krisis 1987.

Presiden keenam UMNO itu juga kemudian membacakan peranan dan tanggungjawab pemimpin dan ahli UMNO dengan merujuk fasal 9.8.2  mengenai Timbalan Presiden, fasal 9.8.3 mengenai Naib Presiden serta fasal 6.1.1 dan fasal 6.2.1  mengenai ahli.

Najib turut melahirkan rasa bangga kepada UMNO yang bakal berusia 70 tahun pada Mei depan dan kekal rekod di dunia sebagai parti pemerintah paling lama sejak negara merdeka.

Malah Najib yang genap penglibatannya di dalam politik selama 40 tahun pada Mac tahun depan berbangga kerana kekal setia kepada parti “tanpa sekalipun pernah meninggalkannya.”

Najib muncul dalam arena politik negara berikutan kematian bapanya Perdana Menteri, Tun Abdul Razak yang juga Presiden UMNO dan tokoh ikonik orang Melayu ketika itu.