Ahmad Kamarulzaman Dilantik Panglima Baharu TLDM

608
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin pada Rabu secara rasmi dilantik sebagai Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ke-16.

Beliau yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Panglima TLDM selama kira-kira tiga tahun menggantikan Laksamana Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar yang melepaskan jawatannya pada Rabu.

Ahmad Kamarulzaman, 56, memulakan khidmatnya dalam TLDM pada 24 Februari 1977 selepas menamatkan pengajiannya di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi di sini.

Berpengalaman lebih 38 tahun dalam pasukan, beliau merupakan lulusan dari US Naval Staff Course di Naval War College, Newport, Rhode Island serta Distinguished Graduate of the Fu Hshing Kang College, Republic of China in Political Warfare.

Beliau juga mempunyai Ijazah Sarjana Business Administration dari University Of Strathclyde Business School, Scotland dan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ahmad Kamarulzaman sebelum ini turut memegang beberapa jawatan penting dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antaranya Ketua Staf, Markas Angkatan Tentera dan Panglima Angkatan Bersama.

Selain itu, beliau pernah memegang jawatan Panglima Armada yang berpangkalan di Lumut, Perak serta Panglima Wilayah Laut 2, berpangkalan di Teluk Sepanggar, Sabah.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas berlangsung di Auditorium Wisma Pertahanan di sini disaksikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima ATM Jen Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin.

Ahmad Kamarulzaman berkata pertama beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Amanah ini saya akan pegang dengan penuh integriti, melaksanakan tugas dan tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan yang berkhidmat dalam TLDM sejak Februari 1978 pula dilantik sebagai Timbalan Panglima TLDM yang baharu.