Ahmad Bashah Lepas Jawatan Timbalan Menteri, Senator

280
0
SHARE

ALOR SETAR: Bakal menteri besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Anggota Dewan Negara berkuat kuasa hari ini.

Katanya surat peletakan jawatan sebagai timbalan menteri diserahkan hari ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak manakala bagi jawatan senator kepada Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

“Jadi, dah rasmi (saya) letak dua-dua jawatan. Kalau ikutkan, untuk senator tak habis tempoh lagi, tapi esok dah angkat sumpah (jawatan Menteri Besar), kena lepas dua-dua jawatan itu,” katanya pada sidang media di Bangunan Tunku di Alor Setar hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din dalam sidang media khas di Wisma Darul Aman hari ini mengumumkan Ahmad Bashah, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Bakar Bata, sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu, menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, berkuat kuasa esok.

Terdahulu, Mukhriz mengumumkan peletakan jawatan menteri besar berkuat kuasa serta merta.