Ahmad Bashah Janji Kerja 7 Hari Seminggu Untuk Rakyat Kedah

95
0
SHARE

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menawarkan diri bekerja 7 hari seminggu dan tidak melatah marah walaupun dituduh sebagai seorang yang suka tidur.

Beliau menyifatkan dirinya sebagai seorang yang tidak suka protokol dan berkata membuka pintu rumahnya seluas mungkin kepada orang ramai jika mereka memerlukan bantuan.

“Saya bekerja 7 hari seminggu… saya tidak ada masalah untuk bekerja tanpa henti demi rakyat negeri ini.

“Malah pintu rumah saya juga terbuka kepada orang ramai,” kata beliau dipetik dalam wawancara bersama Mstar Online hari ini.
Mengenai gambar viral beliau yang tertidur, Ahmad Bashah berkata tidak wajar jika perkara itu dijadikan polemik kerana ramai pemimpin politik lain juga terlelap seketika kerana khusyuk.

“Pejam mata tidak bermakna kita tidur. Ketika kita membaca doa pun kita pejam mata. Malah di dalam Parlimen sekali pun saya pernah melihat ahli Parlimen menutup mata.

“Ia adalah perkara biasa tapi bila seseorang itu pejam mata mungkin itu membantu dia nak mendengar dengan lebih khusyuk,” katanya.

Menurut beliau, keutamaan kini di bawah pentadbirannya adalah bagi memastikan semua janji dalam manifesto mereka ditunaikan dan melaksanakan dasar-dasar yang sudah diputuskan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi nanti.

“Dalam tempoh tidak jauh kita akan hadapi PRU.

“Jadi, kita kena tengok semula janji-janji yang kita lafazkan sewaktu PRU yang lalu. Bila kita janji kita kena tunaikan. Oleh demikian adalah penting kita tengok kembali janji-janji dalam manifesto kita laksana atau tidak,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata itu juga mahu segala janji yang dibuat ditunaikan sebaik mungkin.

“Mungkin wakil rakyat ada buat janji dengan pengundi dalam kawasannya, kini menjadi tugas saya untuk buat sesuatu dan memastikan janji-janji itu ditunaikan sebaik mungkin

“Kalau tidak orang kata janji sajalah…ni PRU nak datang semula nak janji apa pula…jadi janji ni kena laksanakan sebelum rakyat marah kepada kita,” katanya.