Ahli Parlimen Tasek Gelugor Minta Guan Eng Disiasat

116
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kementerian berkaitan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang didakwa terbabit dalam penjualan tanah dikhususkan untuk pembinaan rumah sewa rakyat.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, mendakwa tanah berkenaan dijual secara tender untuk tujuan komersial membabitkan pembinaan hospital swasta dan suite hotel.

Beliau mendakwa, lokasi tanah berkenaan adalah Lot 305, 306, 313 dan 314 Jalan Zainal Abidin di Pulau Pinang yang asalnya dikhususkan untuk pembinaan rumah kos rendah dengan sewa RM100 sebulan.

Shabudin mendakwa, maklumat itu diperoleh daripada wakil badan bukan kerajaan (NGO) berhubung pembabitan secara langsung dan tidak langsung Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, dalam tender jual beli tanah terbabit.

“Saya memohon Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan SPRM membuat siasatan berhubung perkara ini,” katanya ketika membahas usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.