Ahli Parlimen ASEAN Perlu Aktif Ketengahkan Manfaat Komuniti ASEAN – Najib

187
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Ahli Parlimen ASEAN perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam mengetengahkan manfaat yang boleh dinikmati rakyat daripada inisiatif ASEAN yang lebih inklusif dan berpaksikan rakyat di negara masing-masing.

Perdana Menteri berkata, mereka perlu memanfaatkan hubungan secara langsung dengan pengundi mereka dan juga di Parlimen untuk menyampaikan apa makna ASEAN ke arah pembentukan sebuah masyarakat serantau yang padu dari segi politik, mantap dari segi ekonomi dan bertanggungjawab dari segi sosial.

Najib berkata, 10 negara anggota ASEAN telah menggubal beratus-ratus perjanjian, triti, kenyataan dan perisytiharan.

“Tetapi instrumen ini akan agak terhad kesannya jika orang ramai langsung tidak mendapat manfaat daripadanya, atau tidak mengetahui tentang kelebihan ketara yang datang daripada kita dengan menjadi ASEAN,” katanya dalam ucaptama pada Perhimpunan Agung ke-36 Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di sini hari ini.

Perhimpunan yang bermula 6 hingga 12 September itu membawa tema ‘Membabitkan Komuniti ASEAN yang Berpaksikan Rakyat, Berorientasikan Rakyat Ke arah Keterangkuman’. Sambil membawa hadirin menyelami tema perhimpunan itu, Najib berkata penyertaan rakyat dalam penubuhan Komuniti Asean yang bersatu menjelang akhir tahun 2015 adalah penting bagi ASEAN untuk menjadi sesuatu yang boleh dihayati, menjadi sebahagian dan yang dimiliki mereka. “Faedah Komuniti ASEAN adalah amat nyata.

Pergerakan bebas barangan, perkhidmatan, buruh mahir dan modal yang akan mengikat negara-negara di rantau ini menjadi lebih dekat,” katanya. Mengharmonikan dan memperkemaskan standard produk akan meningkatkan daya saing manakala pengurangan tarif yang dilaksanakan secara berperingkat sejak 2007 telah mengurangkan harga dengan banyak, kata Perdana Menteri.

“Integrasi ASEAN hanya akan benar-benar berjaya apabila rakyat daripada 10 negara anggota kita benar-benar terlibat sepenuhnya dalam proses dan melabur dalam penghasilannya,” katanya. Najib berkata, sebahagian daripada usaha menjadikan ASEAN yang berorientasikan rakyat, berpaksikan rakyat dan inklusif adalah untuk memastikan bahawa perlindungan hak-hak asasi manusia dan penambahbaikan dalam kualiti hidup diperluaskan kepada setiap orang.

“Di seluruh ASEAN kita perlu mendekati golongan yang mudah terjejas dan terpinggir, menggalakkan kesaksamaan gender dan memastikan keadilan untuk semua rakyat kita,” katanya sambil menambah bahawa satu daripada hak-hak tersebut adalah hak untuk udara yang bersih.

Najib menegaskan bahawa AIPA, yang sebelum ini AIPO – organisasi yang ditubuhkan pada tahun 1977 sebelum mengubah dirinya menjadi suatu perhimpunan pada tahun 2007 – telah melakukan tugas yang cemerlang dalam menyokong matlamat ASEAN dan membantu meletakkan mereka ke dalam tindakan di peringkat kebangsaan.

Beliau mengambil peluang untuk mengumumkan bahawa ASEAN telah mengambil langkah-langkah untuk terus memformalkan dan menyelaraskan mesyuarat, terutamanya ruang hubung kait di antara ASEAN dan AIPA.

“Kedua-dua sekretariat akan terus membina hubungan melalui aktiviti bersama dan membangunkan mekanisme dan petunjuk untuk kajian dan pemantauan yang berkesan.

“Ini adalah penting untuk menyokong pelaksanaan dasar dan perjanjian ASEAN, dan akan menyokong kesepaduan dalam proses membuat keputusan,” katanya pada majlis yang dihadiri lebih 300 perwakilan dari Parlimen ASEAN. Turut hadir, Presiden AIPA dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.