Agensi Pelancongan Harus Tangani Persepsi Negatif Terhadap Malaysia – Najib

191
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa supaya agensi pelancongan menggunakan media sosial untuk menangani persepsi negatif terhadap Malaysia bagi menarik pelancong asing berminat datang ke negara.

Najib berkata agensi pelancongan perlu memainkan peranan aktif untuk menyampaikan kebenaran mengenai keindahan negara dan menangkis salah tanggapan khususnya dikalangan pelancong luar.

“Pada masa sama, Matta (Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia) dan ahlinya berperanan untuk membantu menonjolkan kebenaran mengenai negara kita kepada pasaran luar.

“Supaya salah tanggapan dan pandangan negatif yang palsu, terutamanya yang tersebar menerusi media sosial dapat dibetulkan dan pelancong tidak takut datang ke Malaysia,” kata Najib semasa majlis anjuran Matta di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini.

Najib mengakui industri pelancongan negara sedikit terjejas, susulan dua insiden melibatkan penerbangan negara yang tidak dapat dielakkan dan kejadian banjir besar tahun lalu.

“Selain tragedi penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia pada 2014, destinasi Malaysia sebagai tempat pelancongan juga terjejas akibat daripada banjir pada awal tahun ini,” katanya.

Menurut Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, jumlah pelancong ke Malaysia jatuh kepada 8.6% pada suku pertama tahun ini berbanding suku yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, Najib berkata Malaysia masih menjadi tarikan pelancong kerana keselesaan dan perkhidmatan yang mampu diberikan kepada mereka.

Selain itu, Najib juga menyifatkan faktor kadar pertukaran mata wang asing juga mampu menjadi tarikan untuk pelancong melawat Malaysia.

“Pastinya, nilai untuk wang akan menyebabkan  pelancong asing menikmati pengalaman baik di Malaysia berbanding destinasi lain kerana pertukaran nilai wang kita,” katanya yang merujuk kepada kejatuhan mata wang negara ke paras terendah sejak kebelakangan ini.