Adun BN Selangor Desak Siasat DEIG

280
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

SHAH ALAM: Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Selangor mendesak Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Selangor, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara dan Lembaga Zakat Selangor menjalankan siasatan segera berhubung skandal Darul Ehsan Investment Group (DEIG) melibatkan Menteri Besar Selangor, Mohamad Azmin Ali.

Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata, sekiranya terbukti wujud pelanggaran dan ketidakpatuhan dalam kod dan etika, peraturan, enakmen atau pun akta, tindakan undang-undang harus diambil terhadap Mohamed Azmin.

Menurut beliau, Mohamed Azmin memaklumkan DEIG adalah anak syarikat Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan menyebut bahawa risiko perniagaan akan ditanggung sepenuhnya oleh DEIG dan tidak melibatkan MBI.

“Kenyataan ini tidak munasabah kerana MBI adalah sumber kewangan utama DEIG. Sebagai pemilik penuh anak syarikat DEIG, sudah pasti MBI akan memastikan bahawa pelaburan yang dibuat hendaklah suatu yang bijak dan mendatangkan pulangan.

“Oleh itu, risiko pelaburan perniagaan sebagai pemodal masih tetap akan ditanggung oleh MBI secara langsung.

“Sebagai menteri besar, beliau bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala wang, pelaburan dan suntikan modal dibawah MBI yang disebut ramai dianggarkan lebih kurang RM30 billion,” katanya dalam sidang media di Bagunan UMNO Selangor, hari ini.

Budiman berkata, beliau turut dimaklumkan DEIG sebelum ini dilaporkan menyerahkan sejumlah RM5 juta wang zakat kepada satu cabang PKR.

“Persoalan yang timbul, adakah DEIG yang menteri besar kononnya menyebut ‘masih belum memulakan perniagaan dan operasi’ wajib mengeluarkan zakat?

“Bagaimana pula dengan sebuah badan yang dilantik untuk mengawal selia zakat negeri iaitu Lembaga Zakat Selangor, tidak dirujuk terlebih dahulu berkenaan dengan kebenaran mengagihkan zakat melalui parti PKR?

“Dan, adakah penerima zakat itu layak di sisi undang-undang?” soalnya.