Adenan Jumpa TYT Bincang Tarikh Bubar DUN

83
0
SHARE

LUNDU: Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, dijangka menemui Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan persetujuan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Walaupun Adenan tidak menyatakan tarikh pertemuan itu dalam sidang medianya sebentar tadi, sumber menyebut ia mungkin diadakan minggu ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu mengakui selesa dengan sokongan padu rakyat di peringkat akar umbi ketika ini, malah yakin BN Sarawak akan memperoleh mandat lebih besar dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11).

“BN Sarawak sedang memperhalusi manifesto dan ia dijangka dapat diumumkan minggu depan, dengan fokus utama terhadap usaha memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sarawak,” katanya.

Terdahulu, beliau melancarkan Jentera Pilihan Raya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Masyarakat Lundu, di sini.

Yang hadir sama, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga Ahli Parlimen Santubong. Adenan yang kekal bertanding di kerusi DUN Tanjung Datu berkata, pihak tertentu yang menentang BN sebelum ini sudah menunjukkan tanda menyokong kerajaan.

Adenan akan ke Serian petang ini untuk menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, seterusnya mengumumkan senarai calon DUN Tarat, DUN Tebedu, DUN Bukit Semuja dan DUN Kedup.

Katanya, pengumuman itu selari dengan janjinya pada Januari lalu untuk mengumumkan senarai calon BN pada akhir Mac.