‘Adakah UMNO Mahu Mesyuarat Dalam Kelambu’ – DAP

179
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Cadangan Setiausaha Agung Umno Datuk Tengku Adnan Mansor mahu mengadakan mesyuarat agung parti itu secara tertutup seumpama mahu bermesyuarat dalam kelambu, kata DAP.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata adalah sesuatu yang amat aneh bagi sebuah parti pemerintah seperti Umno untuk mengadakan mesyuaratnya di dalam kelambu, tersorok daripada pandangan rakyat yang ditadbirnya.

“Saya justeru mengajak anggota-anggota perwakilan Umno yang tidak bersetuju dengan agenda mesyuarat dalam kelambu ini, supaya membuat rakaman video, suara, gambar dan sebagainya untuk diberikan kepada media; sebagai tanda protes, selain mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan individu atau puak tertentu di dalam parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim juga bertanya, adakah tindakan ini juga bermakna duta-duta asing dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) lain juga tidak akan dijemput ke Perhimpunan Agung Umno kali ini?

“Sekiranya dijemput, adakah mereka akan dikenakan ‘gag order’ pula?” tanya Lim.

Jika demikian, beliau pasti pemimpin Umno terdesak mahu menyorokkan mesyuarat agung yang selalunya mendapat liputan meluas media massa terutamanya media dikawal parti itu sendiri, tentunya banyak isu sensitif yang mahu dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

Namun begitu, katanya, orang ramai juga pasti tidak membantah sekiranya ia dijalankan dalam kelambu jika Tengku Adnan berani mengakui agenda perhimpunan agung kali ini berkait hal ehwal kepentingan keluarga dan kroni Umno dan bukan berkenaan kepentingan negara terutamanya orang Melayu yang kononnya dipelihara Umno.

Sebelum ini, Tengku Adnan mengumumkan mesyuarat agung Umno bulan depan akan diadakan secara tertutup daripada liputan media.

Dua naib presidennya akan membuat sidang media harian bagi memaklumkan perkembangan mesyuarat itu kepada orang ramai.

Namun selepas berita itu dilaporkan, Tengku Adnan berkata, ia masih belum muktamad kerana belum dibawa kepada Majlis Tertinggi Umno. – INSIDER

SHARE
Previous articleKerajaan Cadang Gubal Undang-Undang Baharu Kawal Penggunaan ‘Vape’
Next articleNurul Izzah Fail Saman Terhadap Ismail Sabri, KPN