Ada Kemungkinan Serpihan Di La Reunion Milik MH370 – Pakar

305
0
SHARE

SYDNEY: Pakar penerbangan mendakwa terdapat kemungkinan bahawa serpihan pesawat yang ditemui di luar pantai Madagascar, kira-kira 5,600 kilometer dari pusat carian pesawat MH370 adalah milik pesawat itu.

Bahagian sayap bersaiz kira-kira dua meter panjang yang ditemui di Pulau La Reunion itu mampu membawa pasukan pencari ke lokasi nahas pesawat. Pensyarah kanan penerbangan, Ronald Bishop memberitahu Daily Mail Australia bahawa serpihan itu adalah sangat ringan dan dipenuhi dengan udara, yang membantu ia terapung dua atau tiga meter di bawah permukaan laut.

“Serpihan sayap itu melantun. Ia mampu terapung separuh antara dasar dan permukaan laut. Ia boleh bergerak pada kelajuan tiga hingga lima knot bergantung kepada keadaan ketika semasa.

“Jika ia bergerak 75 knot sehari dan selepas setahun sejak pesawat MH370 itu dilaporkan hilang, ia (penemuan serpihan) adalah munasabah – terutama jika ia mampu terapung sedikit dan berhenti seketika,” katanya.

Bishop berkata, sayap itu tidak akan terapung dalam garisan lurus berikutan arus yang mengalir dalam gerakan membulat. “Ia mampu hanyut ke kawasan yang jauh dan juga mengikut mana-mana arus semasa. Ia akan mengambil masa enam hingga lapan bulan untuk terdampar di pantai,” katanya.

“Tetapi kita tidak tahu berapa lama ia mungkin terdampar di pantai… mungkin sudah berada di situ untuk beberapa bulan.

“Kebanyakan masa ia hanyut dan ombak akan membawanya semula ke pantai dan seterusnya,” katanya. Apa yang berlaku terhadap pesawat penerbangan MH370 sudah lama menjadi misteri selepas ia hilang dengan 239 penumpang yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac, tahun lalu.

Enam bulan kemudian, penemuan pesawat itu mampu memberi petunjuk di mana lokasi nahas itu dan bagaimana MH370 hilang.

“Mereka mampu kenal pasti di mana ia datang dan meletakkan komputer di lokasi itu dan mengenal pasti apa yang berlaku,” katanya.

“Perkara yang paling utama mereka dapat maklumkan adalah mengenai keadaan arus semasa dan mereka akan menganalisis seperti mana pasukan carian menggambarkan tapak carian dari isyarat ‘ping’ terakhir dari radar.

“Mereka boleh melakukannya… sudah terlalu lama dan ia (serpihan pesawat) berada di pantai untuk tempoh ini, ia mengambil masa yang panjang untuk terdampar di pantai dan kemungkinan ia adalah lokasi di mana pesawat itu terhempas,” katanya.

Geoffrey Thomas, editor airlineratings.com juga memberitahu Daily Mail Australia bahawa berkemungkinan besar serpihan yang ditemui di La Reunion adalah sebahagian daripada pesawat MH370, iaitu model Boeing 777.

“Pertama sekali, ia jelas menunjukkan objek itu adalah bahagian pesawat. Ia kelihatan diperbuat daripada bahan komposit dan Boeing 777 diperbuat daripada bahan komposit,” katanya. Thomas juga menyokong kenyataan Bishop dan berkata, arus berlawanan jam di Lautan Hindi membolehkan sayap itu hanyut ke La Reunion daripada lokasi sebenar carian.

“Arus mungkin membawa ia ke perairan Australia Barat dan kemudian ke barat bahagian bawah selatan Indonesia dan selatan ke La Reunion dan Madagascar. Ia benar-benar selari dengan aliran arus Lautan Hindi,” katanya.

“Taufan dan faktor cuaca serta aliran arus, ia mampu mempercepatkan dan memperlahankan pergerakan objek ini. Ia adalah tempoh masa yang betul.” Thomas berkata, ia akan mengambil masa 24 hingga 48 jam untuk pasukan penyiasat mengenal pasti sama ada bangkai sayap itu adalah dari MH370.

“Setiap bahagian pesawat tunggal mempunyai nombor siri padanya dan oleh itu mereka (pasukan penyiasat) boleh mengenal pasti bukan saja pesawat Boeing 777, malah kapal terbang yang tepat,” katanya. – Dailymail.co.uk