9 Anggota Daesh Ditahan – KPN

28
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Sembilan lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai terbabit dengan aktiviti kumpulan pengganas Daesh dalam operasi di beberapa negeri bermula 15 Mac hingga Selasa lalu.

Semua suspek berusia antara 20 hingga 46 tahun itu ditahan di Selangor, Perak, Kedah, Kelantan dan Johor dalam operasi yang dilancarkan Bahagian Antikeganasan Cawangan Khas (E8) Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata tangkapan pertama di Klang, Selangor pada 15 Mac lalu membabitkan seorang lelaki berusia 27 tahun bertugas sebagai juruteknik Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Suspek adalah anggota sel kumpulan Gagak Hitam yang terbabit dalam insiden letupan Kelab Movida di Puchong, Selangor.

“Dia turut mengaku menyalurkan dana kepada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi di Syria untuk kegunaan kumpulan Daesh di negara itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 16 Mac lalu, katanya, dua lagi suspek ditangkap dalam serbuan di Kulim, Kedah dan Ipoh, Perak, membabitkan seorang guru sekolah rendah berusia 37 tahun dan pengawal keselamatan berusia 39 tahun.

Khalid berkata, guru terbabit mengaku menyebarkan ideologi Salafi Jihadi kumpulan pengganas Daesh melalui Facebook bertujuan merekrut anggota baharu, manakala suspek ketiga merancang menyusup keluar dari negara ini untuk menyertai perjuangan Daesh di Syria atau selatan Filipina.

“Serbuan seterusnya dilakukan di Tapah dan Bidor, Perak pada 17 Mac lalu, yang mana pasukan E8 menahan dua suspek iaitu seorang pembantu kedai makan dan seorang pemilik kedai haiwan peliharaan, masing-masing berusia 31 dan 28 tahun.

“Siasatan mendapati pembantu kedai makan itu merancang menyerang balai polis di Tapah, Perak dan berhubung dengan anggota Daesh di Indonesia untuk mendapatkan bahan letupan,” katanya.

Beliau berkata, suspek turut mempunyai hubungan dengan sel kumpulan pengganas Daesh di Poso, Indonesia dan aktif merekrut anggota baharu di negara ini.

“Suspek ketiga yang juga pemilik kedai haiwan peliharaan adalah anggota sel yang direkrut olehnya,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan keenam membabitkan seorang mekanik berusia 32 tahun yang ditahan dalam serbuan di Kuala Krai, Kelantan.

“Suspek disyaki menyalur dana kepada anggota Daesh di Syria dan mempunyai hubungan dengan seorang anggota Daesh rakyat Malaysia di Syria.

“Seorang lagi anggota Daesh berusia 46 tahun yang terbabit aktiviti merekrut anggota baharu ditahan dalam serbuan di Kota Bharu, Kelantan pada 21 Mac lalu.

“Dua lagi suspek ditahan pada hari sama dalam serbuan di Segamat dan Kota Tinggi, Johor.

“Suspek yang masing-masing berusia 20 dan 24 tahun, bekerja sebagai pekerja kafe siber dan pekerja resort disyaki terbabit kegiatan Daesh di negara ini,” katanya.

Khalid berkata, semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIA – Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).