75 Peratus Rakyat Malaysia Tidak Puas Hati Hartanah Mahal – Kajian

65
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Kajian terkini PropertyGuru menunjukkan tiga daripada empat rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan pasaran hartanah semasa, antara sebabnya hartanah mahal dan kurang tindakan daripada kerajaan.

Kajian tersebut, yang dilaksanakan pada separuh pertama 2015, menunjukkan trend kepuasan berkurangan yang ketara daripada pembeli atau bakal pembeli.

Ia turut menunjukkan konsensus yang meningkat bahawa harga semua hartanah, tidak kira saiz, kelas atau lokasi, semakin tidak mampu dimiliki.

“Hanya 25 peratus daripada rakyat Malaysia berpuas hati dengan syarat-syarat umum pasaran hartanah — penurunan yang ketara berbanding 32 peratus dicatatkan dalam kajian sentimen pada tahun lepas,” menurut PropertyGuru dalam kenyataan pada Selasa.

Sebab utama yang dinyatakan ialah persepsi hartanah terlalu mahal (86 peratus), kenaikan harga yang pesat (61 peratus), ekonomi perlahan (57 peratus) dan keadaan hartanah tidak menentu (37 peratus).

Pengurus Negara Sheldon Fernandez berkata satu daripada setiap tiga responden menyatakan kesukaran untuk mendapatkan kelulusan pinjaman bank sebagai sebab utama mereka tidak berpuas hati.

Walaupun pelbagai skim kerajaan untuk menggalakkan pembelian hartanah domestik, 37 peratus daripada responden tidak memohon program sedemikian, manakala 36 peratus lagi menyatakan mereka tidak layak untuk bantuan tersebut.

Hanya satu daripada lima responden memohon Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) manakala hanya empat peratus memohon Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome).

Walaupun hartanah dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), langkah yang dilaksanakan pada April 2015 itu telah mempengaruhi keyakinan pengguna dengan 60 peratus menyatakan bahawa ia memberi kesan kepada keputusan mereka untuk membeli hartanah.

Sebab popular lain termasuk perancangan untuk pendidikan anak (37 peratus), lindung nilai terhadap inflasi dan turun naik mata wang (31 peratus) dan penghijrahan (25 peratus).