50 Karya Sambut Jubli Emas Persatuan Penulis Johor

76
0
SHARE
JOHOR BAHRU: Pelancaran 50 karya penulis Johor dan antologi puisi 50 Tahun PPJ, “Pemikir Bangsa” menyambut Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 Persatuan Penulis Johor (PPJ) yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini.
Khaled dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada penulis sepanjang lima dekad yang berperanan sebagai jambatan penghubung masyarakat dengan kebenaran.
“Nama besar seperti Arwahyarham Usman Awang adalah sesuatu yang tidak perlu kita perkenalkan. Dan hari ini, Johor terus diwakili oleh penulis-penulis besar seperti Khadijah Hashim, Adibah Amin, Shahrom Hussin,  Matlop, Zam Ismail dan ramai lagi.
“Malah, kemunculan penulis muda seperti MF Kencana yang melahirkan lebih 100 skrip drama televisyen dan WB Rendra yang telah dua kali berturut-turut memenangi hadiah utama dalam Sayembara Novel Sejarah membuktikan Johor tidak pernah ketandusan penulis yang berjayam,” jelasnya di hadapan 300 tetamu.
Namun begitu, Khaled turut melahirkan kebimbangan dengan perkembangan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan blog yang tidak mewakili kredibiliti media bercetak satu masa dahulu.
“Bahan bacaan dan penulisan hari ini sudah bebas diterbitkan. Tanpa halangan, tanpa suntingan dan tanpa saringan moral dan etika. Natijahnya, wujudlah lambakan bahan penulisan yang tidak berkualiti dan tidak mematangkan pemikiran. Malah, banyak yang hanya merendahkan pemikiran dan kematangan masyarakat kita, khususnya anak muda.”
Dalam pada itu, Ketua 1 PPJ, Amiruddin Md Ali Hanafiah merakamkan rasa terharu kerana persatuan penulis tunggal dari selatan tanah air itu terus bertahan pada usia setengah abad ketika persatuan lain sudah ‘hidup segan mati tak mahu’.
“PPJ mempunyai satu gabungan antara penulis muda dan veteran. Malah dari sejumlah 1,300 ahli kami, 60 hingga 70 peratus adalah dari generasi muda antara umur 18 hingga 35 tahun,” jelasnya yang menyasarkan usaha untuk meremajakan persatuan penulis dan menjadikan mereka sebagai pemimpin pelapis untuk memastikan PPJ terus kekal untuk 50 tahun yang akan datang.
Majlis yang berlangsung di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar itu turut memberikan pengiktirafan kepada Shapiai Mohd Ramly, WB Rendra A Wahid dan Mohd Rosli Bakir sebagai pemenang utama Sayembara Penulisan Puisi Muafakat Johor dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000, plak dan sijil penghargaan.
SHARE
Previous article139 Petugas Haji Berlepas Ke Tanah Suci Hari Ini
Next articleMH17: Tragedi Yang Tidak Akan Dilupakan – Najib