45 Peratus Tidak Setuju Kerjasama PAS-UMNO – Kaji Selidik

298
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kaji selidik yang dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati lebih 45 peratus responden tidak bersetuju dengan kerjasama Pas dan UMNO.

Timbalan Pengerusi IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kajian itu dilakukan pada November lalu di Selangor.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bilangan responden yang ditemui dalam kaji selidik itu.

“Bila ditanya soal kerjasama, yang bersetuju dalam 35 peratus saja, bakinya lebih besar tidak bersetuju, khususnya dalam kalangan penyokong Pas.

“Kalau berlaku pertandingan antara Pas dan Umno, pengundi Pas akan mengundi Pas (manakala) pengundi UMNO akan mengundi UMNO,” katanya lapor Sinar Online.

Mohamad Redzuan berkata, kerjasama UMNO dan Pas tidak akan memberi sebarang manfaat kepada nasib orang Melayu di negara ini, malah dikhuatiri menyebabkan perpecahan susulan kemarahan penyokong Pas terhadap parti pemerintah itu masih menebal.

“Kalau itu (kerjasama) berlaku saya melihat, pilihan raya nanti yang rugi adalah Pas, maklumlah UMNO ini masalah dalamannya nak beri kerusi pun bergaduh berhabis-habisan, apatah lagi nak beri kepada orang lain.

“Kita tahu sejarah UMNO ini, bercakap perpaduan Melayu pun dia tersepit juga. Saya nampak sama saja, penyokong UMNO tetap UMNO, penyokong Pas tetap Pas, tidak akan berlaku penyokong UMNO akan menyokong Pas dan sebaliknya,” katanya.

Mohamad Redzuan berkata, kajian itu juga mendapati, ahli UMNO tetap setia dengan parti itu walaupun marah kepada pemimpinnya kerana soal kepincangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kenaikan harga barang.

Katanya, rakyat juga mengharapkan pembaharuan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor kerana pemerintahan parti pembangkang itu masih jauh daripada sebarang perubahan ketara yang dikehendaki pengundi-pengundi negeri itu.

“Pakatan kena kerja kuat, kena betulkan, rakyat tidak melihat bahawa pemerintahan Pakatan membawa banyak perubahan, tetapi lebih marah kepada UMNO kerana banyak isu termasuk GST,” lapor akhbar itu.