40,000 Pelajar Akan Terima Bantuan Persekolahan Mulai Isnin

118
0
SHARE

PUTRAJAYA: Sebanyak 40,000 pelajar sekolah menengah dan rendah di 191 bahagian UMNO di seluruh negara akan menerima bantuan persekolahan berupa beg sekolah, set alat tulis dan botol air minuman di bawah program Bantuan Sekolah Transformasi Bumiputera 2016 (Best 2016).

Bantuan berkenaan yang melibatkan kos keseluruhan RM2 juta dan dibiayai oleh Yayasan Pelajaran Mara (YPM) akan mula diagihkan oleh pemimpin Pemuda dan Puteri UMNO di peringkat bahagian mulai Isnin.

Majlis perasmian program Best 2016 disempurnakan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO di sini, Ahad.

Selain YPM, program bantuan berkenaan turut melibatkan Biro Pendidikan Pemuda UMNO, Biro Pendidikan Puteri UMNO dan Pertubuhan Pemikir Muda Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian tersebut, Ismail Sabri berkata ini merupakan tahun kedua penganjuran program berkenaan.

Jika ada peruntukan pada masa akan datang program Best boleh dijadikan acara tahunan bagi membantu pelajar yang memerlukan, jelas beliau.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan Ketua Puteri UMNO Bahagian sudah pun mengenal pasti golongan sasaran yang akan menerima bantuan melalui program ini, katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga sayap pergerakan UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri digalakkan menjalankan program secara bersama kerana pendekatan itu lebih menjimatkan kos selain meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan anggota parti.

“Antara program yang boleh diberikan tumpuan ialah program pembangunan usahawan yang melibatkan anggota Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda UMNO Mohd Rafiq Naizamohideen ketika mengulas isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Chee berkata, Biro Pendidikan Pemuda dan Puteri UMNO mahukan Kementerian Pendidikan menjalankan kajian mengenai isu perkauman yang sering dilaporkan berlaku di SJKC.

“Isu perkauman di SJKC bukanlah perkara baharu. Oleh itu Kementerian Pendidikan disaran membuat kajian berhubung perkara ini supaya langkah yang sewajarnya dapat diambil dan tumpuan boleh diberikan kepada sekolah-sekolah yang menggalakkan perpaduan.

“Kajian dan langkah sewajarnya adalah penting supaya pendidikan menjadi ejen perpaduan terutamanya dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang guru Melayu di SJKC Pai Chee di Mersing, Johor mendakwa diserang oleh bapa kepada muridnya di bilik guru. Guru berkenaan turut mendakwa laporan berhubung insiden berkenaan yang beliau buat kepada pihak pengurusan sekolah tidak diberikan perhatian.

Laporan media turut menyebut Jabatan Pendidikan Negeri Johor menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan tersebut. – AWANI

SHARE
Previous article“Jangan Marah Saya Harga Barang Tak Turun” – Ahmad Maslan
Next articlePerpustakaan Kuala Lumpur Terbakar