34 Maut, 125 Cedera Serangan Bom Di Turki

136
0
SHARE

ANKARA: Sekurang-kurangnya 34 orang terkorban dan 125 cedera akibat letupan bom kereta di ibu negara Turki semalam, menurut agensi berita Sputnik yang memetik Kementerian Kesihatan Turki.

Letupan pada jam 6.43 petang waktu tempatan itu berlaku dekat Guven Park di tengah bandar itu, menurut penyiar Turki TRT.

Rakaman CCTV yang dimuat naik di YouTube menunjukkan sebuah kereta sedang memotong dua bas sebelum bergerak perlahan dan meletup.

Seorang pegawai keselamatan berkata, penemuan awal menunjukkan serangan itu dilakukan oleh pejuang Parti Buruh Kurdistan (PKK) atau kumpulan yang ada kaitan dengan mereka.

Bagaimanapun pihak berkuasa Turki mengumumkan mereka akan mendedahkan nama kumpulan yang bertanggungjawab ke atas letupan maut itu dan keputusan siasatan pengeboman hari ini.

Bulan lalu, bom kereta diletupkan hanya beberapa blok dari tempat kejadian dan menyebabkan 29 orang mati. – Reuters