30 Disahkan Maut Dalam Kebakaran London

18
0
SHARE

LONDON: Sekurang-kurangnya 30 penghuni Menara Grenfell disahkan maut manakala puluhan lagi dilaporkan masih hilang ketika anggota bomba terus mencari mayat mangsa, menurut polis.

“Kami mengesahkan sekurang-kurangnya 30 mangsa meninggal dunia dalam kebakaran itu.

“Saya percaya jumlah kematian dijangka meningkat,” kata Komander Polis, Stuart Cundy, kepada pemberita di hadapan Menara Grenfell di sini, hari ini.

Cundy berkata, pihak polis sudah memulakan siasatan berhubung insiden itu tetapi enggan mengulas sama ada “kebakaran itu dimulakan secara sengaja”.

Beliau berkata, kebakaran di menara kediaman setinggi 24 tingkat itu akhirnya berjaya dipadamkan, dua hari selepas kejadian.

Sementara itu, media melaporkan 70 penghuni masih hilang, namun tidak diketahui sama ada mereka adalah antara mangsa yang terkorban yang ditemui setakat ini.

Polis menyatakan ada mangsa yang tidak mungkin dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat.

Cundy berkata, salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia di hospital.

“Setakat ini, 24 mangsa yang cedera masih dirawat di hospital dan 12 daripada mereka berada dalam keadaan kritikal,” katanya.

Sementara itu, pasukan bomba menggunakan dron dan anjing pengesan dalam misi mencari serta menyelamat di dalam bangunan terbabit yang dilaporkan tidak selamat untuk dimasuki. – AFP