3 Lagi Mangsa Culik Abu Sayyaf Diselamatkan

46
0
SHARE

KOTA KINABALU: Tiga lagi mangsa culik warga Malaysia yang berada dalam tawanan kumpulan Abu Sayyaf sejak lapan bulan lalu, diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina di selatan negara jiran itu, lewat malam tadi.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, ketika dihubungi di sini sebentar tadi, mengesahkan maklumat itu.

“Kita mendapat maklumat daripada pihak keselamatan Filipina bahawa tiga lagi mangsa culik warga Malaysia diselamatkan lewat malam tadi.

“Mereka kini berada di sebuah lokasi di wilayah Sulu. Kita akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini daripada pihak keselamatan Filipina,” katanya.

Tiga mangsa culik terbabit ialah Fandy Bakran, 26, dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, kedua-duanya berasal dari Tawau, selain Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Pahang.

Mereka adalah antara lima kru bot kapal tunda warga Malaysia yang diculik di perairan Dent Heaven di Lahad Datu pada 18 Julai tahun lalu, ketika perjalanan ke Semporna selepas menghantar pasir di Sandakan.

Kapal tunda itu ditemui terkandas di kawasan beting pasir dengan enjin hidup tanpa operator, manakala barangan di dalamnya berselerak sebelum mereka disahkan diculik dan dibawa ke selatan Filipina.

Awal pagi Khamis lalu, juragan kapal tunda terbabit, Abdul Rahim Summas, 62 dan seorang lagi mangsa, Tayudin Anjut, 45, diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina dalam operasi khas di perairan Kalinggalang Caluang berhampiran Pulau Pata di Wilayah Sulu, selatan negara jiran itu.

Abdul Rahim dan Tayudin tiba di Kuala Lumpur malam tadi dan sudah diserahkan kepada keluarga masing-masing dalam majlis ringkas dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di ibu negara, pagi tadi.