21 Jenazah Dimandikan Dengan Kaedah Tayamum

49
0
SHARE

KUALA LUMPUR: 21 jenazah mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dimandikan dengan kaedah tayamum berikutan keadaan jasad mereka yang dilaporkan rentung.

Dua lagi jenazah yang berada dalam keadaan sempurna dimandikan dengan cara biasa sebelum semua jenazah terbabit dikafankan dan disembahyangkan di Surau Kuarters Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.

Menurut jurucakap HKL, proses tayamum dijalankan di Surau Kuarters HKL selepas selesai proses dokumentasi, pengecaman identiti dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di Unit Forensik hospital itu.

“Jenazah dibawa ke surau ini secara berperingkat untuk dikafankan dan disolatkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan yang ditetapkan waris.

“Ada (waris) meminta supaya jenazah disolatkan berasingan supaya proses pengebumian dapat dilaksanakan dengan cepat,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur, di sini untuk menziarahi waris mangsa.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Tinjauan BH di sini mendapati, pihak berkuasa menghalang laluan pintu masuk surau berkenaan dan hanya membenarkan waris terdekat memasuki bangunan terbabit.

Solat jenazah yang dijalankan secara berperingkat baru selesai dan beberapa jenazah dibawa meninggalkan surau menuju ke tanah perkuburan masing-masing. – BH