200 Ketua UMNO Cawangan Akan Desak Najib Letak Jawatan

958
0
SHARE

PUCHONG: Lebih 200 ketua-ketua UMNO cawangan seluruh negara akan mengadakan sidang media pada 27 November untuk mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Presiden parti.

Ketua UMNO Cawangan Kampung Railway, Mohd Said Midon berkata, kumpulan terbabit termasuk daripada sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

“Kami tidak akan berhenti mendesak sehingga dua tuntutan dipenuhi,” katanya sambil menambah tempat sidang media itu akan dimaklumkan kemudian.

Mohd Said berkata, dua tuntutan itu ialah mendesak Najib meletak jawatan sebagai Presiden dan digantikan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, negara menghadapi banyak masalah yang menjejaskan rakyat dan menjadi tanggungjawab ahli UMNO untuk mengambil tindakan untuk agama, bangsa dan negara.

Mohd Said berkata, ketua-ketua UMNO cawangan di seluruh negara akan membuat siri-siri sidang media secara berterusan sebagai tekanan kepada Najib.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, terdapat dalang yang membayar ketua-ketua UMNO cawangan membuat kecoh menjelang Perhimpunan Agung UMNO, bulan depan.

Katanya, dalang itu sedang rancak menjelajah ke seluruh negara untuk menghasut ketua-ketua UMNO cawangan bagi mendesak Najib meleta jawatan.

“Dalang ini sedang jaja (hasut) ketua cawangan seluruh negara minta sokongan 100 ketua cawangan untuk tolak Presiden.

“Mereka ini dibayar dengan duit. Mereka buat kecoh (untuk ganggu perjalanan) perhimpunan agung, ” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian. – FMT