1MDB Tak Halang Kemasukan Pelabur Asing – Najib

88
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Syarikat pelaburan strategik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan faktor penghalang kemasukan pelabur ke dalam negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata dalam satu jawapan bertulis Parlimen hari ini, perangkaan terkini menunjukkan, para pelabur masih mempunyai keyakinan terhadap ekonomi Malaysia yang mapan.

“Keadaan ini digambarkan melalui peningkatan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM22.4 bilion dalam tempoh separuh pertama 2015.

“Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding RM17.5 bilion yang dicatatkan dalam tempoh separuh kedua 2014.

“Tambahan pula, pelaburan yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) adalah sebanyak RM113.5 bilion dalam tempoh separuh pertama 2015 berbanding RM112 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu,” kata Najib.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan ahli Parlimen Kulim Bandar Baru Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir yang meminta menteri kewangan menyatakan reaksi Putrajaya dalam isu 1MDB.

Wakil rakyat Barisan Nasional itu juga bertanyakan langkah yang diambil kerajaan serta sama ada isu 1MDB memberi kesan kepada pelaburan asing ke dalam negara atau tidak.

“Meskipun terdapat isu domestik yang berbangkit, namun kemasukan pelaburan asing masih berterusan,” Najib berkata.

SHARE
Previous articleUFO Muncul Di Melaka?
Next articlePeminat Rajnikanth Serbu Bangsar