1MDB: Muhyiddin Tidak Akan Membisu

191
0
SHARE
KLUANG: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikrar akan terus bercakap mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tegas bekas timbalan perdana menteri itu, sebagai orang nombor dua dalam Umno beliau tidak akan membisu mengenai kontroversi berkenaan walaupun tidak lagi berada dalam Kabinet Persekutuan.

“Takkan menjadi timbalan presiden, selepas peristiwa ini (digugurkan) saya perlu membisu?

“Saya akan terus bercakap kerana ini tugas. Saya tak bisu. Apa yang saya lakukan selama ini ialah dengan ungkapan, perkataan untuk membantu supaya perjuangan parti kita terus kekal. Salah ke?” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kluang di sini, Ahad.

Mengulas lanjut Muhyiddin mengakui mempunyai perbezaan pendapat dengan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu 1MDB.

Sehubungan itu Ahli Perlimen Pagoh berkenaan mendedahkan bahawa beliau turut dinasihatkan oleh rakan politiknya supaya tidak terus lantang mengkritik mengenai kontroversi syarikat pelaburan strategik kerajaan itu.

“Memang betul saya menghadapi sedikit perbezaan pandangan dengan presiden parti dalam satu perkara sahaja iaitu 1MDB.

“Ramai sahabat politik saya bagi nasihat…Tan Sri bukan timbalan perdana menteri lagi. Saya kata ya, saya tahu. Dia ingatkan lagi bahawa saya sekarang hanya timbalan presiden.

“Dia ingatkan saya cakap baik-baik. Saya tanya kenapa? Katanya manalah tahu selepas tak lagi pegang jawatan dalam kerajaan, ada usaha pihak tertentu nak cari salah supaya jawatan saya sebagai timbalan preiden akan digugurkan.

“Saya tanya..oh ye ke? Jadi bagaimana saya nak cakap? Tutup mulut dalam isu 1MDB?,” jelasnya.