1MDB, Kredibiliti Najib Dijangka Bayangi Agenda Parlimen

97
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ketika jangkaan usul undi tidak percaya dibawa terhadap Datuk Seri Najib Razak apabila Dewan Rakyat kembali bersidang minggu depan, perkara lain yang dijangka menjadi agenda ialah kesan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada senario politik dan ekonomi.

Salah satu perkara yang paling jelas ialah susunan tempat duduk.

Bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini duduk bersebelahan perdana menteri di barisan depan nampaknya akan terpaksa duduk di kalangan pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) lain.

Nasib sama menanti bekas menteri, Datuk Seri Shafie Apdal yang sebelum ini duduk bersama menteri lain.

Kedua-duanya, Muhyiddin dan Shafie tersingkir dalam rombakan Kabinet, penghujung Julai lalu akibat kritikan terbuka mereka terhadap syarikat 1MDB yang diilhamkan Najib.

Pada masa sama, 6 wakil rakyat persekutuan daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka diberikan susunan tempat duduk baharu seperti yang mereka minta selepas berpisah daripada parti lama PAS.

“Kita sudah menulis surat kepada Parlimen mengenai perkara ini dan saya difahamkan permohonan ini sedang dipertimbangkan, menunggu persetujuan speaker,” kata Ketua Whip Parlimen Amanah Khalid Samad kepada The Malaysian Insider.

Arahan susunan tempat duduk baharu wakil media membuat liputan perjalanan Parlimen yang terpisah daripada bangunan persidangan diadakan sudah ditangguhkan dan mereka akan terus beroperasi seperti biasa di lobi Parlimen. – INSIDER