1MDB Dalam Siasatan Polis – SPRM

116
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Walaupun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), itu tidak bermakna firma pelaburan negara itu tidak berada di bawah penyiasatan mana-mana pihak, kata badan anti rasuah itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob berkata syarikat milik Kementerian Kewangan itu sedang dalam siasatan polis.

SPRM berkata demikian sebagai mengulas kenyataan 1MDB hari ini yang mendakwa ia tidak lagi disiasat, berikutan penjelasan Jabatan Peguam Negara mengenai mengapa ia membersihkan syarikat itu daripada sebarang salah laku kerana membuat pendedahan tidak tepat bagi mendapatkan kebenaran pelaburan luar negara.

“Merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan 1MDB pada hari ini, SPRM mahu menjelaskan yang SPRM dalam kenyataannya pada 22 September, 2015 tidak pernah mengatakan 1MDB tidak disiasat.

“Sebaliknya dalam kenyataan media bertarikh 22 September, 2015 SPRM hanya menyebut SPRM tidak menjalankan siasatan ke atas 1MDB.

“Malah dalam kenyataan itu, SPRM menyebut isu 1MDB disiasat sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sehubungan itu, sebarang pertanyaan berkenaan isu ini mestilah dirujuk kepada PDRM,” katanya.

Rohaizad berkata, perkara tersebut juga jelas susulan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam.

Beliau juga berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya membuat kenyataan, kononnya SPRM membersihkan pihak terbabit dalam isu 1MDB.

Meneruskan perang mulut dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dari DAP, 1MDB berkata, pejabat peguam negara membersihkan syarikat itu daripada sebarang salah laku selepas membaca kertas siasatan Bank Negara Malaysia.

“Pengesahan Jabatan Peguam Negara itu mengukuhkan kenyataan SPRM pada 22 September 2015 yang 1MDB tidak berada dalam siasatan.”

Peguam negara semalam menjelaskan keputusannya untuk membersihkan 1MDB daripada kesalahan membuat akuan tidak tepat berkaitan dengan pelaburan di luar negara.

Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, keputusan itu dibuat kerana Bank Negara tidak mendapatkan maklumat yang cukup dari firma tersebut untuk menunjukkan ia dengan sengaja melanggar undang-undang.

Pada Isnin, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan ketua pasukan petugas khas yang bertanggungjawab menyiasat isu 1MDB dan mereka ialah Khalid, Apandi dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Katanya, pertemuan itu bagi mengaktifkan semula peranan pasukan petugas khas tersebut yang turut dianggotai SPRM dalam menyelesaikan hal berkaitan dengan 1MDB.

Semalam, Khalid berkata, beliau bersedia untuk hadir apabila dipanggil pada pertemuan itu, sambil menambah, beliau akan berhubung dengan Kassim dalam masa terdekat.