1MDB: Arul Terima Cabaran Tony Pua Debat Secara Langsung Di TV

219
0
SHARE

PETALING JAYA: Arul Kanda Kandasamy menyahut cabaran Tony Pua untuk muncul secara langsung bagi menjawab sebarang dakwaan yang dibuat terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Presiden 1MDB itu berkata Pua perlu terlebih dahulu meletak jawatannya dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan.

Ini berlaku selepas Pua, yang juga  setiausaha publisiti DAP berkata jawapan yang diberikan Arul dalam temuramah secara langsung di Bernama TV hanyalah jawapan ‘kitar semula’ dan ‘tidak mendekatkan rakyat Malaysia dengan kebenaran’ mengenai isu itu.

Pua berkata, beliau sendiri akan menjadi hos kepada program temubual itu dan bertanyakan soalan, dan akan memberikan Arul ‘seberapa banyak masa dan peluang yang ada dan untuk menjawab soalan-soalan itu’.

“Bagaimanapun, saya, seperti biasa, sanggup dibuktikan salah,” kata Pua.

“Malah, saya tidak akan menyimpan dendam jika dia berjaya memalukan saya dengan menunjukkan bukti dari mana-mana dokumen kewangan 1MDB yang dapat menyangkal dakwaan saya.

“Persoalannya ialah, adakah dia mempunyai keberanian untuk menerima cabaran itu?” katanya.

Dalam satu jawapan segera, Arul bersetuju menyahut cabaran itu.

“Saya dengan ini menerima cabaran beliau dan sangat berharap untuk menjawab soalan-soalannya,” kata Arul.

“Walaupun dengan usaha-usahanya untuk berbuat demikian, YB Tony Pua tidak boleh menjadi hakim, juri dan melaksanakan hukuman.

“Oleh itu, saya percaya beliau mempunyai keberanian untuk melakukan perkara yang betul dan meletakkan jawatan dalam PAC dalam usaha kita untuk, seperti yang dinyatakannya, perbincangan ‘tanpa halangan’ di televisyen secara langsung,” katanya.

Dalam temu bual secara langsung dengan Bernama TV pada Rabu, Arul berkata tidak ada apa yang diselindungkan berhubung 1MDB dan adalah mustahil untuk berbuat demikian kerana terdapat lima agensi penyiasatan sedang memerhatikan mereka.

Pua adalah ahli PAC yang menyiasat 1MDB yang mana prosidingnya sebelum ini ditangguhkan selepas empat orang anggotanya, termasuk bekas pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed, terpaksa meletak jawatan daripada Jawatankuasa selepas mereka dimasukkan ke dalam Kabinet dalam rombakan baru-baru ini.