“Komplot Guling Najib? Tak Jatuh Pun” – Muhyiddin

503
0
SHARE

Dakwaan tiada isi.

Begitu cuba digambarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman sebagai cuba berkomplot menggulingkan Datuk Seri Najib Razak.

“Tak ada, tak ada (komplot). (Malah) tak jatuh pun Najib.

“Tak ada komplot. Dia (Azalina) cakap, orang kata, tak tahu cakap melalui hidung dia ke, telinga dia? minta maaflah cakap begitu,” sindir timbalan presiden Umno yang digantung tugas itu.
Muhyiddin diminta mengulas dakwaan Azalina pada 28 Februari lalu yang mendakwa ada konspirasi peringkat tertinggi untuk menjatuhkan perdana menteri.

Muhyiddin dilapor mendakwa diberi taklimat oleh bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, ketika mereka masih menyandang jawatan masing-masing, mengenai ‘bukti’ jenayah Najib.

Azalina mendakwa Muhyiddin bukan sahaja melanggar Akta Rahsia Rasmi tetapi juga bersubahat dalam konspirasi bermotifkan politik untuk menyalah guna sistem perundangan bagi menggulingkan Najib.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini di pejabatnya di ibu negara semalam, Muhyiddin mempertahankan tindakannya “mengambil tahu” apa yang berlaku atas kapasiti sebagai orang nombor dua dalam Umno.

“Saya berhak tahu. Itu bukan komplot,” tegas anggota Parlimen Pagoh itu.

Dosa besar

Muhyiddin juga berkata, perkara itu juga tidak boleh dikatakan komplot kerana beliau tidak mempunyai sebarang kuasa bertindak, seperti pihak penguatkuasaan dalam negara.

“Mereka ini orang pegawai kanan dalam kerajaan… mana saya boleh berkomplot, bincang berskema secara sulit, rahsia. Tak ada. Cuma mereka maklum kerana mereka fikir saya harus tahu.

Beliau juga mengingatkan Azalina bahawa “buruk sangka itu berdosa besar”.

Ditanya sama ada beliau ada bertemu lagi dengan Gani selepas itu, Muhyiddin hanya menjawab ringkas: “Tak ada.”

Muhyiddin pada 3 Mac lalu mengulangi dakwaan bahawa Gani mempunyai bukti, termasuk aliran wang ke akaun, untuk mendakwa Najib.

Muhyiddin berkata Gani memberitahunya banyak lagi perkara tetapi ia tidak boleh didedahkan kerana kes tersebut belum dibawa ke mahkamah.

Beliau semalam terus menegaskan “tahu lebih sikit” berbanding orang lain dalam isu sekitar syarikat pelaburan negara sarat hutang, 1MDB.

Beliau sebelum ini digugurkan sebagai timbalan perdana menteri selepas lantang mengkritik isu sekitar kontroversi syarikat cetusan ilham Najib itu. – KINITV