150 Kanak-kanak Berkhatan Di Shah Alam

481
0
SHARE

Oleh: Mohd Khairi Ahmad

SHAH ALAM: Seramai 150 orang kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun telah dikhatankan di Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13, Shah Alam semalam.

Program Sunathon Selangor yang bertemakan ‘Potong Untuk Sihat’ merupakan program khatan sulung dianjurkan oleh Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM) Negeri Selangor yang baru sahaja diluluskan penubuhannya pada 4 Februari 2015.

Menurut Dr Norzaidi Zakaria, seramai 70 orang anak-anak yatim, fakir dan maahad tahfiz, dikhatankan secara percuma oleh 10 orang doktor dari klinik-klinik swasta sekitar Selangor.

Beliau yang merupakan Pengerusi PERDIM Negeri Selangor menyatakan bahawa seramai 75 orang peserta dikhatankan menggunakan kaedah klamp manakala bakinya dikatankan menggunakan laser.

“Selaku tuan rumah, Masjid Al-Ikhlas menyambut baik program yang dianjurkan oleh PERDIM Negeri Selangor dengan menyediakan 3 ruang khatan yang cukup selesa,” menurut Ustaz Haji Mohammad Rizal Sabran Al-Hafiz.

“Kira-kira 30 peratus peserta yang dikhatankan merupakan anak-anak kariah Masjid Al-Ikhlas, manakala selebihnya peserta yang datang dari luar kariah termasuk dari luar negeri Selangor,” tambah beliau yang merupakan Pengurus Masjid Al-Ikhlas.

Ahmad Hazwan Ahmad Zamri, 10, gembira menyertai program Sunathon kali ini. Beliau merupakan pelajar Tahun 4 Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Shah Alam, ditemani bapanya, Ahmad Zamri Nordin. Hazwan sedikit gementar sebelum dikhatankan namun tetap tabah kerana telah berazam untuk berkhatan pada tahun ini.

Azmi Ahmad yang mengiringi anak sulungnya, Ahmad Azhad Hanin, 6, untuk dikhatankan merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak penganjur yang menganjurkan Program Sunathon kali ini. Beliau mengharapkan agar program yang murni ini diteruskan pada masa akan datang.

Sementara itu, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba Seksyen 15 Shah Alam telah digunakan untuk memandikan peserta sebelum khatan dilakukan.

Program Sunathon Selangor bermula pada jam 8 pagi telah berakhir kira-kira jam 2.30 petang.