1,400 Kes BR1M Belum Ditunaikan

207
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Sebanyak 11,400 kes Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) masih belum ditunaikan di kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata dalam menangani masalah tersebut, kementeriannya telah memberi baucar BR1M secara serentak bagi tiga fasa.

“Kementerian Kewangan mengambil maklum bahawa terdapat beberapa kes terutama di kawasan pedalaman. Sebagai contohnya, di pedalaman Sabah dan Sarawak, setakat hari ini kita dapat lihat bahawa terdapat 11,400 kes-kes baucar yang belum ditunaikan oleh mereka.

“Untuk kawasan pedalaman ini, dia sudah dapat sekali serentak,” kata Johari di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, pihak Kementerian Kewangan akan mengkaji semula cadangan untuk memberi wang tunai serta kad debit kepada penerima BR1M bagi memastikan tidak timbul permasalahan jika ia dilaksanakan.

Selain itu, Johari berkata tidak wujud sebarang permasalahan sepanjang pembayaran BR1M Fasa II dan III.

Johari berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Henry Sum Agong (BN-Lawas) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan mengapa pembayaran BR1M Fasa II dan III untuk tahun 2015 tergendala serta apakah langkah yang akan diambil bagi memastikan pembayaran BR1M akan datang berjalan lancar.- AWANI