Putin, Hollande Setuju Selaras Serangan Terhadap IS

36
0
SHARE
MOSCOW: Presiden Perancis, Francois Hollande, dan Presiden Russia, Vladimir Putin bersetuju bagi menyelaraskan serangan terhadap IS tetapi perbezaan pendapat berhubung masa depan Syria menjejaskan usaha membawa Russia ke dalam pakatan memerangi kumpulan militan itu.

Putin memberi bayangan bahawa Perancis dan Russia akan bertukar maklumat bagi membantu mengenal pasti sasaran IS di Syria, berbanding kumpulan lain yang menentang pemimpin negara itu, Bashar al-Assad.

“Kedua-dua negara bersetuju bertukar maklumat mengenai wilayah mana yang diduduki kumpulan penentang, bukannya pengganas dan akan mengelak daripada menyasarkan mereka dengan serangan udara kami,” kata Putin.

“Serangan ke atas Daesh (IS) akan dipertingkatkan dan akan diselaraskan,” kata Hollande pada sidang media selepas pertemuan selama 90 minit di Kremlin.

Persetujuan bagi menumpukan sasaran IS adalah kemajuan paling konkrit dalam usaha Hollande menyusun pakatan lebih luas bagi menghancurkan IS selepas serangan di Paris pada 13 November lalu.

Namun, pemimpin Perancis itu gagal mendapatkan persetujuan Putin bagi membantu pakatan yang diketuai AS dalam serangan udara terhadap IS di Syria. – AFP