Polis Belgium Tahan 16 Suspek, Kesan Dalang Serangan Paris

58
0
SHARE
BRUSSELS: Polis Belgium menahan seramai 16 individu dalam beberapa siri serbuan pada Ahad bagi mengesan pengganas, namun suspek bukan terdiri daripada Salah Abdeslam yang merupakan dalang serangan Paris.”Seramai 16 telah ditahan, termasuk seorang yang cedera akibat terkena tembakan rambang polis selepas dia cuba merempuh pihak berkuasa,” kata jurucakap pendakwaraya, Eric Van Der Sypt kepada pemberita.

Tambahnya, Salah Abdeslam tidak ditahan dalam serbuan itu.

Sebanyak 19 serbuan telah dilakukan di Brussels termasuk Molenbeek yang merupakan penempatan setinggan dan kampung kepada Abdeslam.

Polis turut melakukan tiga serbuan di kawasan industri Charleroi yang terletak berdekatan dengan sebuah lapangan terbang antarabangsa.

Hakim pada Isnin memutuskan untuk terus menahan kesemua suspek yang ditahan dalam serbuan itu.

Tiada senjata api atau bahan letupan ditemui sepanjang serbuan dan pemeriksaan di kawasan terlibat.

Polis Belgium melakukan serbuan mengesan pengganas selepas dalang serangan Paris didakwa dilakukan oleh pengganas warga Belgium.