1MDB Tidak Akan Hadir Prosiding PAC Esok

225
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Eksekutif dan bekas eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan menghadiri prosiding inkuiri Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) esok, walaupun jawatankuasa Parlimen itu terdahulu hari ini mengatakan ia akan diteruskan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi, syarikat pelaburan negara itu mengatakan ia menerima makluman rasmi daripada setiausaha Parlimen mengatakan prosiding itu ditangguhkan ke tarikh yang akan ditentukan kemudian.

1MDB katanya, menghormati PAC sebagai pihak berkuasa yang sah dan forum yang paling tepat menjawab sebarang persoalan mengenai 1MDB.

“Kami mempunyai keyakinan yang jawatankuasa dwi-partisan ini akan memberi peluang seadilnya untuk 1MDB memberi penjelasan tentang kedudukan syarikat kepada pihak berkuasa yang sah, mengikut keperluan proses wajar.”Sekali lagi kami mengulangi hasrat kami untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada PAC dan kami menanti untuk hadir dalam sesi PAC pada tarikh yang baharu,” kata kenyataan itu.

Terdahulu hari ini, naib pengerusi PAC Dr Tan Seng Giaw berkata jawatankuasa Parlimen itu akan meneruskan prosiding siasatannya terhadap skandal kerugian RM42 bilion 1MDB esok seperti jadual asal.