10,000 Penunggang Basikal Pakai Kemeja-T #tolakfitnahmediasosial – Pemuda UMNO

200
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Dianggarkan 10,000 penunggang basikal akan memenuhi ibu negara bulan depan dengan memakai kemeja-T #tolakfitnahmediasosial dan #sayasayangmalaysia, kata Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan Pemuda Umno.

Program Kayuhan Hari Malaysia 2015 yang akan bermula pada 8 malam, 11 September ini di Dataran Merdeka adalah sebahagian daripada kempen biro berkenaan mendidik rakyat Malaysia cara menangani berita dan maklumat palsu yang dikongsi di laman media sosial.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini mengakui serangan di media sosial terhadapnya membuatkan beliau ‘mendidih’ akan merasmikan program itu, kata pengerusinya, Nazir Hussein Akhtar Hussein.

“Oleh kerana fitnah di media sosial dan khabar angin yang tidak bertanggungjawab, hubungan antara kaum semakin renggang,” kata Nazir pada pra pelancaran program berkenaan di PWTC.”Dalam Whatsapp baru-baru ini, artikel The Wall Street Journal (WSJ) disebar luas. Sedangkan WSJ tidak dibaca di negara mereka sendiri kerana rekodnya menerbitkan berita palsu.

“Tetapi di Malaysia, artikel WSJ disebar luas. Dan tiada siapa yang mengesahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan WSJ mengenai sejumlah AS$700 juta dipindahkan ke akaun peribadi Najib.

Nazir berkata, kempen mereka menyasarkan untuk mendidik terutamanya anak muda, bagaimana memastikan berita dan maklumat yang diterima media sosial adalah sahih dan tidak memberikan kesan negatif kepada negara dan hubungan harmoni sesama kaum.

SHARE
Previous articleWanita Disiasat Polis Kerana Tampal Pelekat Kenderaan #TangkapNajib
Next articleKereta Bomba Terbalik Dalam Perjalanan Padam Kebakaran