100 Penyokong Iringi Husam Mengadap PAS Pusat

128
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa hari ini hadir ke ibu pejabat parti itu untuk mengadap Dewan Harian PAS Pusat untuk memberi penjelasan berhubung teguran beliau antaranya melibatkan pentadbiran kerajaan Kelantan.

Beliau yang hadir sekitar jam 1.50 petang, turut ditemani lebih 100 penyokong beliau yang datang dari Kubang Kerian dan kawasan DUN Salor.

Difahamkan kesemua mereka tiba di Kuala Lumpur pada jam 6.30 pagi tadi, semata-mata mahu memberi sokongan kepada ADUN Salor itu merangkap yang dipertua PAS Kubang Kerian.

Husam sebelum ini memaklumkan beliau akan mengadap jawatankuasa tersebut – pada hari ini – sekembalinya dari China.

Beberapa penyokong tegar bekas pemimpin PAS itu yang ditemui yakin bahawa ADUN Salor itu tidak bersalah.

Shamsul Bahri Daud, 50, (kopiah hitam) dari Kubang Kerian berkata beliau menyokong penuh tindakan bekas exco kanan Kelantan itu hanya mahu membawa kebenaran dalam politik.

“Saya menyokong sepenuhnya Datuk Husam kerana dia membawa kebenaran dalam politik.

“Kita tak nak parti PAS berpecah kerana ada unsur-unsur lain dan saya yakin Datuk Husam adalah benar sebab dia berkeyakinan penuh dia adalah seorang yang benar.

“Saya kenal beliau,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan ibu pejabat PAS.

Sokongan padu terhadap bekas pemimpin kanan PAS itu turut dikongsikan bersama Mohd Rosli Ibrahim, 55, dari DUN Salor.

“Kami akan ikut dia dan itu pendirian kami, kami memang 100 peratus di belakang Husam,” tegasnya sambil melaungkan takbir ‘Allahuakbar’.

Sementara itu, Ahmad Mohammad, 50, dari penyokong dari Parlimen Kubang Kerian pula berkata apa pun tindakan yang bakal diambil kepada pemimpin itu mereka tetap menyokong Husam.

“Kita hadir untuk berikan sokongan dan beri penghormatan. Tidak ada apa-apa, dia (kalau Husam dilucutkan jawatan) dan kami sokong dia terus berjuang,” kata Ahmad.

Mereka juga ditanya sama ada akan turut serta bersama Husam jika pemimpin itu menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Saya menyokong sebarang kebenaran yang dibawa oleh Datuk Husam,” kata Shamsul Bahri yang turut disokong oleh Mohd Rosli.

Sebelum ini Dewan Harian PAS Pusat Rabu lalu memberi tempoh 30 November hingga 6 Disember ini kepada Husam untuk memberi penjelasan antaranya berhubung teguran beliau terhadap kerajaan Kelantan. – MK