A+ R A-
25 April 2014

Iklan Politik - MCA Gagal, DAP Berjaya

Oleh:  Faizal Riduan

KUALA LUMPUR - Peranan iklan politik oleh parti MCA dan DAP dalam Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu semakin penting dan signifikan. Ini berikutan dapatan pensyarah pengiklanan Suhaimee Saahar dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menganalisis 25 iklan MCA dan DAP.

Dalam PRU yang lalu, MCA telah membeli  beberapa siri iklan politik di akhbar berbahasa Inggeris The Star manakala DAP pula di akhbar berbahasa Melayu Sinar Harian. Menurutnya lagi senario ini memberikan satu indikasi besar kepada politik di Malaysia di mana adanya ruang parti pembangkang untuk mengiklankan mesej politik mereka.

“Kesemua iklan politik DAP tidak menyerang parti komponen Barisan Nasional tetapi sembilan iklan politik MCA berunsurkan serangan terhadap kerjasama DAP-PAS dengan tumpuan bagaimana PAS menggunakan DAP dan bagaimana DAP menggunakan PAS,” katanya.

Terdapat tiga iklan politik MCA yang menyerang PAS dalam isu mengenai agama dan kepercayaan seperti hukum Hudud. DAP pula langsung tidak menyentuh isu-isu berkaitan ekonomi, pendidikan, pakatan antara parti lawan, kebudayaan, agama dan kepercayaan dalam iklan politik mereka.

Hanya tujuh iklan politik MCA memfokus kepada kekuatan parti sedangkan semua iklan politik DAP semata-mata menumpukan kepada kekuatan parti.

“DAP lebih memberikan penekanan polisi parti dalam iklan politik mereka. 70 peratus iklan tersebut menumpukan kepada dasar parti itu sementara hanya 32 peratus penumpuan serupa oleh MCA,” bandingnya.

Pembentangan kajian beliau antara lain merujuk kepada iklan "Say hello to DAP, Say hello to PAS" dalam akhbar The Star dan iklan "Bukan anti-Melayu, Bukan anti-Islam, Tapi antirasuah" yang memaparkan wajah Lim Guan Eng dalam akhbar Sinar Harian.

“Jelas sekali daripada hasil analisis, perbezaan ketara dari segi taktik yang digunakan oleh kedua-dua parti jelas kelihatan di mana MCA lebih menggunakan taktik negatif berbanding parti DAP. DAP lebih menekankan perkongsian matlamat dengan menonjolkan polisi mereka berbanding menyerang parti daripada Barisan Nasional.

“Malang sekali, penggunaan iklan-iklan politik negatif ini tidak menyumbang kepada kemenangan MCA pada PRU-13, malah ia mampu memberikan kesan negatif kepada persepsi awam terhadap imej dan usaha MCA dalam meraih sokongan pengundi,” ulasnya pada seminar "Media dan Pilihan Raya Umum 2013" di Kuala Lumpur semalam.