Pendirian Anwar Ancam Negara
Anwar berani kerana ketaksuban penyokong
Faktor Datuk Nik Aziz Nik Mat dan ketaksuban golongan ‘Anwariun’ dalam pakatan pembangkang menjadi punca keberanian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan sokongan terbukanya kepada keselamatan Israel.
Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Nik Aziz juga berjaya memukau ahli PAS untuk mendahulukan matlamat politik dan menawan Putrajaya, sekali gus menyebabkan parti itu sanggup berdiam diri dan membelakangi umat Islam di Palestin.
“Rakyat Malaysia mesti menolak Nik Aziz dan golongan Anwariun ini. Jika Anwar berjaya ke Putrajaya, imej Malaysia yang konsisten menentang kezaliman zionis Israel terhadap rakyat Palestin akan bertukar menjadi negara pro Israel.
“Nik Aziz dan golongan Anwariun tergamak mempertahankan kenyataan Anwar yang memedihkan hati rakyat Malaysia iaitu menyokong segala usaha untuk menjaga keselamatan Israel kerana Anwar, Nik Aziz dan golongan Anwariun mahu Amerika dan Yahudi terus membantu beliau (Anwar) menawan Putrajaya.
“Dengan kata lain, Nik Aziz dan Anwariun tidak yakin mereka boleh menawan Putrajaya melalui proses pilihan raya dan demokrasi tanpa campur tangan asing.” Mohd Puad mengulas sokongan Anwar kepada usaha menjaga keselamatan Israel seperti dilaporkan Wall Street Journal. Beliau mendakwa Nik Aziz sudah menyeleweng dan ulama dalam PAS perlu membawa beliau ke pangkal jalan demi menyelamatkan akidah umat Islam di negara ini.
Sementara itu, menurut Ahli jawatankuasa Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad, kenyataan ketua pembangkang itu dikhuatiri akan menyebabkan golongan radikal pro-Palestin melabel Malaysia sebagai antara negara penyokong rejim Zionis, disifatkan berbahaya dan boleh mengancam negara.
“Saya bimbang golongan ini tersalah tafsir berhubung polisi luar negara kerana kenyataan Anwar itu seolah-olah menggambarkan kita menyokong kedaulatan Israel. Dikhuatiri Malaysia akan menjadi sasaran seterusnya buat golongan radikal ini.” Ujar Ismail Mina, ancaman daripada golongan radikal tersebut boleh wujud kerana tindakan menyokong entiti haram Israel dan seumpamanya adalah seperti mengkhianati perjuangan umat Islam seluruh dunia.
“Entiti haram Israel tersebut ditubuhkan atas konspirasi Zionis-Kristian yang bermatlamat merampas hak rakyat Palestin. Semua pihak seharusnya bertanggungjawab mengembalikan status quo serta hak tersebut kepada penduduk asal Baitulmaqdis.”






